Soalan 1
Bilakah hari-hari rawatan pesakit luar Klinik ORL?
Jawapan 1
1. Rawatan pesakit luar adalah pada hari Selasa, Rabu dan Jumaat.
2. Klinik Allergi adalah pada hari Isnin .
3. Klinik FNAC adalah pada hari Isnin
4. Klinik pra-pembedahan adalah pada hari Isnin dan Khamis.
5. Kes-kes kecemasan akan diberi rawatan pada hari yang sama di Jabatan Kecemasan.
Soalan 2
Bilakah hari pembedahan ORL?
Jawapan 2
1. Pesakit akan menjalani pembedahan elektif pada hari Isnin dan Khamis di Dewan Bedah Utama.
2. Pembedahan elektif juga dijalankan pada hari Sabtu seperti yang telah dijadualkan
3. Pembedahan ‘Daycare’ akan dijalankan pada setiap hari Isnin menepati kriteria yang telah ditetapkan.
Soalan 3
Perlukah saya mendapatkan surat rujukan?
Jawapan 3
Ya, semua rujukan ke Klinik Pakar memerlukan surat rujukan.
Soalan 4
Saya sedang mengalami penyakit tonsillitis dan telah dinasihati untuk menjalani pembedahan tonsillectomy. Bilakah masa paling sesuai untuk menjalani pembedahan tonsillitis?
Jawapan 4
1. Biasanya pembedahan tonsillectomy akan disarankan sekiranya salah satu daripada kriteria-kriteria berikut dipenuhi:
2. Penyakit tonsillitis yang berulang (lebih lima kali setahun untuk dua tahun berturutan/ setiap bulan berlaku penyakit tonsillitis
3. Sejarah penyakit peritonsillar abscess
4. Gangguan pernafasan disebabkan saiz tonsil yang besar (Obstructive Sleep Apnea)
5. Disyaki barah tonsil
6. Pembedahan tonsillectomy hanya akan dijalankan apabila pesakit sihat dan tidak mengalami sakit tekak.
Soalan 5
Saya telah mendapat temujanji dengan pakar Audiologi/ Speech Therapist. Perlukah saya berjumpa dengan Pakar ORL juga?
Jawapan 5
1. Ya. Doktor Klinik ORL akan memeriksa pesakit seperti yang diperlukan.
Soalan 6
Apakah persediaan yang saya perlu jalankan sebelum pembedahan?
Jawapan 6
1. Semua pesakit perlu menjalani penilaian pra-pembedahan.
2. Pesakit akan dijelaskan indikasi serta risiko sesuatu pembedahan. Sekiranya pesakit setuju untuk pembedahan, beliau akan diberi tarikh pembedahan yang mungkin ambil masa 1 minggu sehingga 3 bulan.
3. Beberapa ujian akan dijalankan (bergantung kepada keperluan pesakit) sebelum tarikh pembedahan. Contohnya: (Ujian darah, ECG, X-ray paru-paru, CT scan)
4. Rujukan kepada Pakar bius akan diberikan sebelum tarikh pembedahan
5. Tarikh temujanji akan diberi pada hari Isnin atau Khamis supaya pesakit dapat penjelasan atas sebarang kemusykilan atau kebimbangan. Jika pesakit sihat dan setuju untuk pembedahan, kebenaran untuk pembedahan akan ditandatangani oleh pesakit pada hari itu.Sekiranya pesakit tidak cukup sihat untuk pembedahan pada hari tersebut, tarikh pembedahan akan ditangguhkan.
6. Pesakit dikehendaki mendaftar masuk ke wad sehari sebelum tarikh pembedahan. Sekiranya pesakit mempunyai penyakit kronik yang lain seperti darah tinggi atau kencing manis, pesakit mungkin dinasihati untuk masuk ke wad dua hari lebih awal untuk mengoptimumkan keadaan pesakit sebelum pembedahan.
7. Pesakit dinasihati tidak membawa sebarang barang-barang berharga semasa masuk wad. Hospital tidak bertanggungjawab atas kehilangan barang-barang tersebut.
SOALAN LAZIM TERAPI PERTUTURAN (SPEECH THERAPY)
Soalan 1
Kenapa anak saya tak cakap lagi?
Jawapan 1
Faktor-faktor kanak-kanak tidak bercakap:
(a) masalah pendengaran
(b) kurang rangsangan bahasa dan bunyi-bunyian
(c) kelainan pada struktur dalam mulut
(d) tiada rakan bermain dan berkomunikasi
(e) kurang masa interaksi dan aktiviti bersama ibubapa dan keluarga
(f) terlalu fokus pada akademik pada usia kurang 4 tahun
(g) ketagih permainan “gadjet” dan televisyen
(h) tidak banyak pilihan permainan di rumah
Soalan 2
Pelat…bila waktu sesuai untuk speech therapy?
Jawapan 2
Speech therapy untuk masalah pelat hanya dijalankan sekiranya:
(a) Tiada masalah pendengaran
(b) Kanak-kanak boleh faham dan bercakap bahasa pertuturan
(c) Setelah kanak-kanak berusia 5 tahun
(d) Kanak-kanak boleh cakap panjang melebihi 5 perkataan dalam satu ayat, tetapi sebutannya tidak jelas atau pelat.
Soalan 3
Macam mana nak jaga suara?
Jawapan 3
(a) Elakkan kerap berdehem, menjerit dan bercakap kuat dalam keadaan bising.
(b) Pelajari kemahiran menyanyi yang betul
Soalan 4
Apa perlu saya buat …anak tak pandai hisap susu?
Jawapan 4
(a) Dapatkan pemeriksaan lanjut struktur dalam mulut bayi yang mungkin menyebabkan anak tidak boleh menghisap dengan baik (seperti sumbing, lidah pendek dan lain-lain)
(b) Pilih peralatan yang sesuai (seperti saiz putting botol, kelancaran aliran air dan lain-lain). Jika menyusu badan pastikan teknik yang betul.
(c) Beri minuman pilihan anak dengan dan jumlah yang sesuai.
(d) Ambil kira rasa minuman yang diberi.
(e) Pelajari teknik rangsangan wajah dan mulut untuk kemahiran menyusu.
(f) Anak hanya perlu kemahiran hisap susu jika berusia kurang 2 tahun. Selepas 2 tahun kenalkan cara lain seperti menggunakan penyedut minuman,cawan dan lain-lain.
Soalan 5
Tanda-tanda masalah menelan?
Jawapan 5
(a) kurang selera makan
(b) Sakit masa menelan
(c) Berat badan berkurangan
(d) batuk semasa dan selepas makan
(e) tidak dapat mengawal air liur sendiri
(f) dehidrasi
Soalan 6
Kenapa temujanji speech therapy lambat?
Jawapan 6
(a) Bilangan pegawai terapi pertuturan yang terhad diperlukan di klinik dan wad
(b) Setiap sesi terapi pertuturan memerlukan masa 45-60 minit. Bermakna secara ideal dalam sehari, speech therapy menjalankan maksimum 5 kes pesakit luar dan 2-4 kes pesakit dalam wad sahaja.
(c) Kadar rujukan kes baru yang semakin meningkat.
(d) Rawatan ulangan terapi pertuturan untuk setiap pesakit secara umum adalah dua tahun.
Soalan 7
Apa dia speech therapy?
Jawapan 7
(a) Menilai, merancang dan melaksanakan program pemulihan terapi pertuturan, suara dan menelan untuk pesaskit dewasa dan kanak-kanak.
(b) Melatih ibubapa/penjaga dan keluarga untuk melaksanakan program terapi dirumah.
SOALAN LAZIM AUDIOLOGI
Soalan 1
Adakah pendengaran saya boleh kembali pulih?
Jawapan 1
1. Itu bergantung pada jenis masalah pendengaran yang dialami samada jenis sensorineural, konduktif, atau campuran.
2. Pada kebiasaannya, masalah pendengaran sensorineural tidak dapat dipulihkan kerana ianya melibatkan saraf di organ pendengaran.
3. Manakala masalah pendengaran konduktif masih boleh diubati bergantung pada jenis masalah yang dialami.
Soalan 2
Adakah masalah pendengaran saya ini memerlukan saya memakai alat bantu pendengaran ?
Jawapan 2
1. Sangat disarankan bagi masalah pendengaran kekal dan jenis masalah pendengaran yang susah dipulihkan.
2. Alat bantu pendengaran berfungsi menguatkan bunyi pada frekuensi bunyi yang tidak dapat didengari oleh anda pada tahap tertentu agar anda dapat mendengar dengan lebih baik .
3. Penggunaan alat bantu pendengaran mampu memperbaiki kualiti hidup anda dan membantu mengekalkan kelancaran fungsi penghantaran bunyi ke otak.
Soalan 3
Perlukah saya memakai di kedua-dua belah telinga?
Jawapan 3
1. Jika masalah pendengaran dikesan di kedua-dua belah telinga, seelok-eloknya pesakit memakai di kedua-dua belah telinga untuk membolehkan pesakit mendengar dari pelbagai arah.
2. Walaubagaimanapun, pesakit boleh memilih untuk cuba memakai di sebelah telinga terlebih dahulu.
Soalan 4
Berapakah harga alat bantu pendengaran?
Jawapan 4
1. Harga alat bantu pendengaran bergantung pada jenis, dan teknologi alat tersebut. Pemilihan jenis alat bergantung pada tahap dan jenis masalah pendengaran.
2. Harga untuk alat bantu pendengaran bagi sebelah telinga ialah dalam lingkungan RM1,000 hingga RM10,000.
Soalan 5
Bolehkah saya memohon bantuan kewangan untuk membeli alat bantu pendengaran?
Jawapan 5
1. Ya.
2. Jika anda adalah kakitangan kerajaan atau pencen kerajaan, anda boleh memohon di bawah bantuan Jabatan Perkhidmatan Awam.
3. Jika tidak, audiologis anda akan merujuk anda ke Jabatan Kebajikan Sosial Perubatan di hospital tempat anda membuat rawatan bagi menentukan saluran yang terbaik untuk anda. Cth: Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tabung Bantuan Perubatan hospital, Lembaga Zakat, dan lain-lain.
Soalan 6
Bagaimana jika saya ada masalah dengan alat bantu pendengaran selepas memakainya?
Jawapan 6
1. Semestinya terdapat temujanji susulan selepas pemasangan alat bantu pendengaran bagi memudahkan audiologis memberi setting yang optimum kepada pesakit.
Soalan 7
Bolehkah saya membuka alat bantuan pendengaran selepas dipasang?
Jawapan 7
1. Ya.
2. Alat bantu pendengaran boleh ditanggalkan contohnya ketika mandi dan tidur.
3. Walaubagaimanapun, ia perlu dipakai secara optimum sekurang-kurangnya 8 jam sehari.