call my faq my feedback my sitemap my

Psikiatri & Kesihatan Mental

Pengenalan

Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Kuala Lumpur adalah penyelaras penting program-program perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental di Malaysia. Kami menyediakan rawatan psikiatri dan promosi kesihatan mental kepada para pelanggan di sekitar Lembah Kelang, serta merupakan pusat rujukan nasional.


Visi

Melahirkan satu masyarakat warga kota yang seimbang dan sihat dari segi psikologi, dan memberikan penekanan terhadap promosi kesihatan mental dan pencegahan masalah-masalah psikososial.

Misi

Membekalkan perkhidmatan kesihatan mental dan psikiatri serta pemulihan yang berkualiti kepada pesakit, sambil menitikberatkan hak asasi pesakit.

Objektif

  1. Memberikan perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental yang terbaik kepada pelanggan-pelanggan yang memerlukan.
  2. Memberikan latihan dan pendidikan psikiatri dan kesihatan mental kepada kakitangan dan para pelanggan.
  3. Menggalakkan penglibatan kakitangan dalam penyelidikan-penyelidikan dan program peningkatan kualiti.

Carta Organisasi

Carta psikiatri

CPerjawatan psikiatri my

Perkhidmatan

Perkhidmatan-perkhidmatan yang Disediakan:

  1. Rawatan Pesakit Luar Klinik Pakar
  2. Rawatan Pesakit Dalam
  3. Perkhidmatan Psikiatri dalam Komuniti
  4. Perkhidmatan Psikiatri Penagihan
  5. Perkhidmatan Psikiatri Warga Emas
  6. Perkhidmatan Neuropsikiatri
  7. Perkhidmatan Psikiatri Konsultasi Liaison
  8. Perkhidmatan Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja (di Hospital Tunku Azizah)
  9. Perkhidmatan Psikologi Klinikal
  10. Rawatan Pemulihan Carakerja
  11. Program-program Latihan dan Kursus

1. Rawatan Pesakit Luar Klinik Pakar

Rawatan untuk masalah-masalah lazim seperti masalah tekanan perasaan (stress), kemurungan (depression), keresahan (anxiety), was-was (obsessions and compulsions) dan trauma. Rawatan juga diberikan untuk masalah-masalah seperti psikosis (contoh: mendengar suara-suara ghaib, percakapan, pemikiran atau tingkahlaku yang lain daripada biasa), dan penyakit bipolar (keadaan emosi yang tidak stabil, berubah-ubah daripada sedih dan marah atau gembira yang keterlaluan). Perkhidmatan pengesahan Borang Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) turut disediakan untuk pesakit yang telah berdaftar di jabatan kami.

2. Rawatan Pesakit Dalam

Kemasukan wad secara sementara untuk rawatan akut masalah emosi, pemikiran dan perubahan tingkahlaku yang mungkin mendatangkan bahaya kepada diri sendiri atau pun kepada orang lain. Keperluan kemasukkan ke dalam wad adalah berdasarkan penilaian doktor, berpandukan Mental Health Act 2001 dan Mental Health Regulations 2010.

3. Perkhidmatan Psikiatri dalam Komuniti dan Rehabilitasi

Perkhidmatan perawatan di rumah dan pemulihan psikososial dalam komuniti disediakan untuk pesakit yang berdaftar dengan klinik psikiatri sahaja.

4. Perkhidmatan Psikiatri Penagihan

Lebih dikenali sebagai Psychiatry Addiction Unit (PAdU). Unit ini memberikan khidmat penilaian dan rawatan terhadap masalah penggunaan bahan dan juga penagihan tingkahlaku. Ini termasuklah isu-isu penggunaan alkohol, dadah-dadah berbahaya, dan juga yang dipreskripsikan. Antara jenis-jenis ketagihan tingkahlaku yang sering dilihat adalah seperti ketagihan terhadap internet, seks, pornografi dan juga perjudian. Unit ini juga menerajui Program Terapi Gantian Dengan Methadone, dan juga perkhidmatan pengesanan dan pengesahan dadah.

5. Perkhidmatan Psikiatri Geriatrik

Perkhidmatan psikiatri yang khusus untuk warga tua atau warga emas. Skop perkhidmatan Psikiatri Geriatrik merangkumi penilaian kesihatan mental dan kapasiti serta perawatan yang holistik dengan pendekatan pelbagai disiplin bagi rawatan dan pengurusan isu psikososial, gangguan emosi dan psikosis di kalangan warga emas serta perawatan demensia terutama sekali bagi menangani gejala tingkah laku dan psikologi dalam konteks demensia melalui pendekatan bukan farmakologi.

6. Perkhidmatan Neuropsikiatri

Rawatan untuk masalah-masalah kesihatan psikiatri yang berkaitan dengan masalah penyakit saraf (neurologi) seperti epilepsi, kecederaan otak, demensia muda, penyakit Parkinson, Multiple Sclerosis, dan sebagainya.

7. Perkhidmatan Psikiatri Konsultasi Liaison

Memberi khidmat kerjasama dan nasihat untuk masalah-masalah kesihatan psikiatri yang berkaitan dengan penyakit-penyakit fizikal lain, seperti dalam bidang sakit puan (obstetrics and gynaecology), bidang pembedahan, masalah buah pinggang (nefrologi), dan perkhidmatan pendermaan organ.

8. Perkhidmatan Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja (di Hospital Tunku Azizah)

Rawatan untuk masalah-masalah di kalangan kanak-kanak dan remaja seperti masalah pembelajaran, ADHD (masalah kurang fokus dalam kelas dan tidak dapat duduk diam – hyperactive), autisme (masalah dalam komunikasi, interaksi sosial, dan minat serta tingkahlaku yang sempit dan berulang-ulang), dan juga masalah emosi dan tingkahlaku.

9. Perkhidmatan Psikologi Klinikal

Memberikan perkhidmatan penilaian diagnostik psikologi klinikal dan psikoterapi untuk menguruskan kecelaruan mental dan tingkah laku. Penilaian diagnostik psikologi klinikal melibatkan pentadbiran ujian-ujian psikologi untuk tujuan diagnosis dan psikoterapi. Pendekatan intervensi psikoterapi yang dijalankan oleh Pegawai Psikologi (Klinikal) adalah berdasarkan amalan berasaskan bukti (evidence-based practice) dan model amalan saintifik (scientist-practitioner model). Selain itu, Perkhidmatan Psikologi Klinikal juga menitikberatkan aspek pencegahan masalah kesihatan mental yang dihadapi oleh masyarakat.

10. Perkhidmatan Pemulihan Carakerja

Rawatan pemulihan mental, fizikal dan psikososial supaya pesakit dapat mencapai kefungsian yang optima dengan memberi aktiviti yang terapeutik sebagai media rawatan.

11. Program-program Latihan dan Kursus

Menyediakan pelbagai program latihan dan kursus di peringkat negara dan antarabangsa.

Jadual Klinik

Hari

Waktu Bertugas

Waktu Rehat

Isnin

7.30pg - 4.30ptg

1.00ptg – 2.00ptg

Selasa

7.30pg - 4.30ptg

1.00ptg – 2.00ptg

Rabu

7.30pg - 4.30ptg

1.00ptg – 2.00ptg

Khamis

7.30pg - 4.30ptg

1.00ptg – 2.00ptg

Jumaat

7.30pg - 4.30ptg

12.15tgh – 2.45ptg


Piagam Pelanggan

  1. Mengutamakan hak asasi pelanggan.
  2. Memberi rawatan dan penjagaan yang profesional.
  3. Segala maklumat mengenai pelanggan, serta rawatan yang diberi akan dirahsiakan.
  4. Pendidikan kesihatan mental akan diberikan kepada pelanggan.
  5. Setiap pesakit akan diberikan bekalan ubat dan tarikh temujanji semasa discaj.


HUBUNGI KAMI

Alamat
Hospital Kuala Lumpur
50586 Jalan Pahang
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
No. Tel : 03-26155555 
E-mel : pro.hkl[at]moh.gov.my

Image
WAKTU MELAWAT

Isnin hingga Jumaat
12.30 tengahari - 2.00 petang
4.30 petang - 6.30 petang

Cuti Mingguan dan Kelepasan Am
12.30 tengahari - 2.00 petang
4.30 petang - 6.30 petang

AGENSI
MAKLUMAT UMUM
Hakcipta Terpelihara © 2024 - Hospital Kuala Lumpur.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Web Google Chrome / Mozilla Firefox / Microsoft Edge versi terkini dengan resolusi minima 1600px x 900px 
Tarikh Kemaskini: Friday 12 July 2024.