Ketua Jabatan YBrs. Dr. Salmah binti Arshad
Telefon 03-2615 5518 
Faks 03-2694 1422
E-mel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Pengenalan

Perubatan forensik merupakan suatu bidang perubatan yang menerapkan ilmu perubatan dalam menyelesaikan kes medikolegal. Fungsi utama Jabatan Perubatan Forensik adalah menjalankan pemeriksaan bedah siasat ke atas mayat yang dibawa oleh polis untuk menentukan punca kematian. Bedah siasat medikolegal hanya boleh dilakukan di hospital kerajaan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan yang berdaftar mengikut Seksyen 330 Kanun Prosedur Jenayah.

Bagi melengkapkan siasatan kes medikolegal, Pakar Perubatan Forensik menjalankan autopsi bagi kes bunuh, kematian dalam keadaan mencurigakan dan dalam bencana ramai kematian serta kematian dalam tahanan dan autopsi berisiko tinggi.

Setelah melakukan pemeriksaan bedah siasat, Pakar Perubatan Forensik akan menghasilkan laporan autopsi berdasarkan penemuan autopsi, pemeriksaan histopatologi, dan analisis makmal.

Kemahiran lain yang diperlukan di kalangan pakar Perubatan Forensik ialah memeriksa sisa kerangka (Antropologi Forensik) dan melakukan pemeriksaan Forensik Klinikal ke atas tahanan yang masih hidup atau suspek dan mangsa jenayah. Selain itu, Pakar Perubatan Forensik juga terlatih dalam mengurus identifikasi mangsa bencana, tempat kejadian atau pemeriksaan di tempat kematian, dan bedah siasat berisiko tinggi. Mereka juga diminta menghadirkan diri di mahkamah untuk memberikan keterangan pakar berdasarkan laporan yang dihasilkan.

Latar Belakang

Sebelum tahun 2002, Unit Forensik adalah satu unit didalam Jabatan Patologi di Hospital Kuala Lumpur yang menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah.

Namun, kerana semakin meningkatnya kepentingan perubatan forensik dalam aspek perundangan, Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) ditubuhkan pada bulan April 2002.

Penubuhan IPFN di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) bertujuan untuk merevolusikan perkhidmatan forensik di Malaysia. Jabatan Perubatan Forensik di HKL juga merupakan ibu pejabat dan pusat rujukan forensic seluruh negara. Kini terdapat 6 Pakar Patologi Forensik bertugas di HKL, dengan lebih daripada 600 kes forensik setiap tahun.

Visi

Jabatan Perubatan Forensik berusaha menjadi sebuah pusat kecemerlangan dalam bidang perubatan forensik serta memberikan perkhidmatan yang cekap, berkesan dan profesional menepati aspek perundangan negara dan sistem pengurusan berkualiti yang mengutamakan pelanggan.

Misi

Jabatan Perubatan Forensik berusaha memberikan perkhidmatan perubatan forensik yang berkualiti:

1. melalui anggota yang berilmu dan mahir serta prihatin terhadap keperluan pelanggan,

2. berteraskan budaya kualiti yang yang merangkumi sifat-sifat penyayang, kerja berpasukan dan profesionalisma,

3. berlandaskan sistem perundangan negara.

Objektif dan Fungsi Jabatan

1. Menyediakan perkhidmatan perubatan forensik yang bebas dan berkecuali serta memenuhi aspek perundangan negara.

2. Menyediakan perkhidmatan pengurusan mayat yang cekap dan prihatin dengan keperluan pelanggan.

3. Melaksanakan pemeriksaan kes-kes perubatan forensik secara profesional, cekap dan berkesan.

4. Memberikan khidmat rundingcara dalam pengendalian kes-kes perubatan forensik.

5. Menguruskan spesimen forensik dan mengekalkan rantaian bahan bukti (chain of custody) spesimen tersebut semasa dalam jagaan.

6. Memastikan penyediaan laporan perubatan forensik, pengendalian permohonan laporan perubatan forensik dan penyimpanan rekod forensik diuruskan secara berkesan dan sistematik.

7. Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui pendidikan dan latihan yang berterusan.

8. Menjalankan penyelidikan dalam bidang perubatan forensik dan mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi medikolegal yang berkaitan.

9. Menyediakan perkhidmatan khusus bagi menguruskan kematian yang melibatkan bencana ramai mangsa, insiden CBRNE (chemical, biological, radiation, nuclear and explosives) dan wabak penyakit berjangkit (seperti SARS, COVID)

Piagam Pelanggan

1. Semua pelanggan akan dilayan secara profesional, jujur, mesra, hormat dan prihatin.

2. Memberi perkhidmatan 24 jam bagi pengurusan penerimaan dan penyerahan mayat.

3. Proses penyerahan mayat kepada pihak waris/berkenaan adalah mengikut ‘Standard Operating Procedure’ jabatan.

4. Setiap pemeriksaan kes perubatan forensik akan dikendalikan mengikut tatacara dan prosedur yang telah ditetapkan.

5. Setiap spesimen medikolegal akan dikendalikan mengikut tatacara dan prosedur yang telah ditetapkan.

6. Pengurusan laporan perubatan forensik akan dikendalikan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

7. Segala maklumat di dalam laporan perubatan forensik akan dikendalikan dengan sulit serta penuh rahsia.

Carta Organisasi

 

 

 

Perkhidmatan Jabatan

1. Penerimaan mayat dari dalam hospital.

2. Penerimaan mayat dari luar hospital.

3. Penyimpanan mayat.

4. Pengendalian bedahsiasat mayat.

5. Pengendalian spesimen bedah siasat medikolegal.

6. Penyerahan mayat.

7. Pelupusan mayat tidak dituntut.

8. Pengendalian laporan perubatan forensik.

9. Pengurusan kes Forensik Klinikal.

Latihan di Jabatan ini terbahagi kepada:

1. Latihan dalaman untuk kakitangan jabatan termasuk:

a) Kemahiran dan pendekatan yang betul dalam pengurusan kes forensik bagi Pegawai Perubatan dan Pegawai Sains Forensik

b) Perbentangan kes-kes bedah siasat yang telah dijalankan oleh Pakar Perunding, Pakar dan Pegawai Perubatan kepada kakitangan jabatan

c) Latihan Pos Basik Forensik bagi Penolong Pegawai

d) Latihan latihan Pengenalan Mangsa Bencana.

2. Latihan kepada agensi luar termasuk

a) Sarjana Program Patologi Forensik bagi calon Program Sarjana Perubatan Pascasiswazah Perubatan dari universiti tempatan,

b) Latihan sangkut untuk Pegawai Perubatan dari hospital dibawah seliaan,

c) Kuliah forensik bagi Pegawai Perubatan Pelatih dari Hospital Kuala Lumpur,

d) Latihan sangkut bagi pelajar prasiswazah dari UPM, UNIMAS, IMU, USM dan kolej perubatan lain

e) Pengenalan kepada perubatan forensik untuk Pegawai Polis,

f) Pengenalan kepada perubatan forensik untuk Pegawai Angkatan Tentera Malaysia,

g) Pengenalan kepada perubatan forensik untuk Pegawai Perundangan,

h) Mengendalikan Ujian Fobia untuk calon Pasukan Bencana SMART Malaysia,

i) Lawatan akademik dari pelbagai sekolah, kolej, institusi dan universiti tempatan dan luar negara.

Go to top