Head of Department Dr. Hjh Salina Abdul Aziz
Phone 03-2615 5555 ext 1043/1044
Fax 03-26987394
Email This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

PENGENALAN

Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Kuala Lumpur adalah penyelaras penting program-program perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental di Malaysia. Kami menyediakan rawatan psikiatri dan promosi kesihatan mental kepada para pelanggan di sekitar Lembah Kelang.

VISI

Melahirkan satu masyarakat warga kota yang seimbang dan sihat dari segi psikologi, dan memberikan penekanan terhadap promosi kesihatan mental dan pencegahan masalah-masalah psikososial.

MISI

Membekalkan perkhidmatan kesihatan mental dan psikiatri serta pemulihan yang berkualiti untuk mereka yang mengalami masalah kesihatan mental akut dan kronik agar dapat menikmati kehidupan yang bermutu dan menyediakan keperluan yang mencukupi serta sesuai bagi penjagaan pelanggan yang memerlukan.

OBJEKTIF

  • Memberikan perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental yang terbaik kepada pelanggan-pelanggan yang memerlukan.
  • Memberikan latihan dan pendidikan psikiatri dan kesihatan mental kepada kakitangan dan para pelanggan.
  • Menggalakkan penglibatan kakitangan dalam penyelidikan-penyelidikan dan program peningkatan kualiti

Perkhidmatan-perkhidmatan yang Disediakan:

  1. Rawatan Pesakit Luar Klinik Pakar
  2. Rawatan Pesakit Dalam
  3. Perkhidmatan Psikiatri dalam Komuniti
  4. Perkhidmatan Psikiatri Penagihan
  5. Perkhidmatan Psikiatri Warga Emas
  6. Perkhidmatan Neuropsikiatri
  7. Perkhidmatan Psikiatri Konsultasi Liaison
  8. Perkhidmatan Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja (di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur)
  9. Perkhidmatan Psikologi Klinikal
  10. Rawatan Pemulihan Carakerja
  11. Unit Kintsukuroi (Kumpulan Sokongan Doktor)
  12. Program-program Latihan dan Kursus

 

  1. Rawatan Pesakit Luar Klinik Pakar

Rawatan untuk masalah-masalah lazim seperti masalah tekanan perasaan (stress), kemurungan (depression), keresahan (anxiety), was-was (obsessions and compulsions) dan trauma. Rawatan juga diberikan untuk masalah-masalah seperti psikosis (contoh: mendengar suara-suara ghaib, percakapan, pemikiran atau tingkahlaku yang lain daripada biasa), dan penyakit bipolar (keadaan emosi yang tidak stabil, berubah-ubah daripada sedih dan marah atau gembira yang keterlaluan).

  1. Rawatan Pesakit Dalam

Kemasukan wad secara sementara untuk rawatan akut masalah emosi, pemikiran dan perubahan tingkahlaku yang mungkin mendatangkan bahaya kepada diri sendiri atau pun kepada orang lain.

  1. Perkhidmatan Psikiatri dalam Komuniti

Perkhidmatan perawatan di rumah dan pemulihan psikososial dalam komuniti.

  1. Perkhidmatan Psikiatri Penagihan

Perkhidmatan perawatan masalah penagihan seperti methamphetamine (ice, syabu), opiod (heroin, morfin, tramadol), ganja (cannabis), alkohol dan sebagainya. Menyediakan perkhidmatan Program Terapi Gantian dengan Metadon. Juga menyediakan perkhidmatan rawatan penagihan tingkahlaku seperti ketagihan judi.

  1. Perkhidmatan Psikiatri Warga Emas

Rawatan untuk masalah-masalah kesihatan di kalangan warga emas seperti dementia (masalah memori dan tingkahlaku) dan kemurungan (depression).

  1. Perkhidmatan Neuropsikiatri

Rawatan untuk masalah-masalah kesihatan psikiatri yang berkaitan dengan masalah penyakit saraf (neurologi) seperti psikosis akibat sawan, dementia pada usia muda, dan psikosis akibat penyakit Parkinson.

  1. Perkhidmatan Psikiatri Konsultasi Liaison

Memberi khidmat kerjasama dan nasihat untuk masalah-masalah kesihatan psikiatri yang berkaitan dengan penyakit-penyakit fizikal lain, seperti dalam bidang sakit puan (obstetrics and gynaecology), bidang pembedahan, masalah buah pinggang (nefrologi), dan perkhidmatan pendermaan organ 

  1. Perkhidmatan Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja (di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur)

Rawatan untuk masalah-masalah di kalangan kanak-kanak dan remaja seperti masalah pembelajaran, ADHD (masalah kurang fokus dalam kelas dan tidak dapat duduk diam – hyperactive), autisme (masalah dalam komunikasi, interaksi sosial, dan minat serta tingkahlaku yang sempit dan berulang-ulang), dan juga masalah emosi dan tingkahlaku.

  1. Perkhidmatan Psikologi Klinikal

Memberi perkhidmatan penilaian psikologi seperti mengukur keupayaan intelektual, neuropsikologi, neurodevelopmental, kecelaruan personaliti dan tingkahlaku, dan penilaian forensik. Memberi perkhidmatan psikoterapi (terapi secara bercakap) seperti Cognitive Behavioural Therapy (CBT), Psychodynamic Psychotherapy, Dialectical Behaviour Therapy (DBT), Interpersonal Therapy (IPT), Mindfulness-based Psychotherapy (MBT), Acceptance and Commitment Therapy (ACT), terapi kelompok, dan terapi pasangan yang berkahwin (Marital and Couple Therapy). Perkhidmatan rehabilitasi kognitif dan pengurusan tingkahlaku juga ada disediakan.

  1. Rawatan Pemulihan Carakerja

Rawatan pemulihan mental, fizikal dan psikososial supaya pesakit dapat mencapai kefungsian yang optima dengan memberi aktiviti yang terapeutik sebagai media rawatan.

  1. Unit Kintsukuroi (Kumpulan Sokongan Doktor)

Memberi sokongan kepada doktor-doktor muda untuk menyempurnakan latihan siswazah (housemanship) mereka. Antara aktiviti yang dijalankan adalah sesi perbincangan berkumpulan, program ceramah bulanan, dan sesi bimbingan (coaching) berkaitan isu-isu kerja dan peribadi.

  1. Program-program Latihan dan Kursus

Menyediakan pelbagai program latihan dan kursus di peringkat negara dan antarabangsa.

 

Soalan-soalan Lazim

Bagaimanakah cara untuk mendapat rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HKL?

Dapatkan pemeriksaan dan surat rujukan daripada mana-mana doktor yang bertauliah (seperti di klinik kesihatan atau klinik swasta terdekat). Setelah itu, sila hadir (bersama surat rujukan) ke Klinik Pakar Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HKL yang terletak di tingkat 4 bangunan Kompleks Pakar dan Rawatan Harian (SCACC) semasa waktu pejabat.

Bagaimana pula untuk kes-kes kecemasan?

Untuk kes-kes kecemasan sahaja yang mungkin mendatangkan bahaya kepada diri sendiri atau pun kepada orang lain, sila hadir ke Klinik Pakar Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HKL yang terletak di tingkat 4 bangunan Kompleks Pakar dan Rawatan Harian (SCACC) semasa waktu pejabat, atau ke Jabatan Kecemasan HKL di luar waktu pejabat.

Adakah saya akan menerima rawatan di dalam wad?

Tidak semua kes perlu menerima rawatan di dalam wad. Pemeriksaan oleh doktor di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental akan menentukan sama ada anda perlu menerima rawatan wad atau memadai dengan cara rawatan luar menggunakan ubat-ubatan dan/atau psychotherapy (terapi secara bercakap).

Bilakah waktu pendaftaran rawatan di Klinik Pakar Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental?

Isnin - Jumaat : 7.30 am - 4.30 pm
(Waktu rehat Isnin-Khamis : 1.00 pm – 2.00 pm;Jumaat: 12.15 pm– 2.45 pm)

Sekiranya anda diberi waktu temujanji, datanglah mengikut waktu temujanji untuk mengelakkan kelewatan mendapatkan rawatan.

Apa yang perlu dibawa semasa kemasukan ke wad psikiatri?

  1. Anda dibenarkan membawa keperluan peribadi untuk kegunaan harian.
  2. Ubat-ubatan* sekiranya anda sedang menjalani sebarang rawatan lain.
  3. Lain-lain keperluan seperti pakaian* atau wang tunai* adalah terhad untuk kegunaan semasa datang (ke hospital) atau semasa dibenarkan keluar (discaj).
  4. Makanan dan minuman akan disediakan di wad dan anda tidak digalakkan untuk membawa makanan luar.

* Sila serahkan barang-barang yang dibawa kepada staf yang bertugas semasa awal kemasukan

Apakah barang-barang yang dilarang dibawa masuk ke wad psikiatri oleh pesakit dan pelawat?

Antara barangan larangan untuk dibawa ke wad: 

  1. Rokok, mancis dan pemetik api.
  2. Sebarang dadah atau arak.
  3. Senjata seperti pistol atau pisau.
  4. Sebarang benda yang boleh dijadikan senjata atau mendatangkan bahaya seperti gunting, kayu, tali dan sebagainya.
  5. Barangan kemas atau barang-barang bernilai tinggi. 

Pelawat akan diminta untuk mendaftar dan mendapatkan pas pelawat. Pelawat mungkin akan diperiksa untuk bahan-bahan terlarang.

Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah merupakan Pusat Rujukan Nasional, dan Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang. Oleh itu, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HKL banyak terlibat dalam pelbagai aktiviti penyelidikan.

Memandangkan jabatan ini adalah antara yang terbesar di Malaysia, memang banyak aktiviti penyelidikan yang sedang dijalankan, sama ada di peringkat jabatan atau nasional. Selain itu, beberapa penyelidikan tajaan industri (industry sponsored research) juga sedang dijalankan.

Go to top