Pengenalan
Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan pada asalnya adalah perkhidmatan kebajikan yang telah diperkenalkan di hospital-hospital di Malaysia pada tahun 1952. Pada peringkat awal, perkhidmatan yang diberikan lebih berupa bantuan kewangan kepada pesakit yang memerlukan, justeru itu nama jawatan ini dikenali sebagai ‘Lady Almoner’. Sehingga tahun 1991 terdapat hanya 8 orang Pegawai Kebajikan Perubatan yang bertugas di Hospital Besar Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching. Selari dengan perkembangan skop perkhidmatan, nama jawatan Pegawai Kebajikan Perubatan telah ditukar kepada Pegawai Kerja Sosial Perubatan mengikut surat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam bil. JPA (S) 253/2/13 klt.85 (16) bertarikh 13 November 2002.
Hospital Kuala Lumpur merupakan perintis kepada kewujudan perkhidmatan ini, ia pernah diterajui oleh YBhg. Datuk Hajah Hasnah binti Haji Sulaiman selaku Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan selama 22 tahun mulai tahun 1994 sehingga persaraan beliau pada 15 Jun 2016. Setelah itu peranan Ketua Jabatan telah diambil alih oleh En. Zulhan bin Ambi mulai 16 Jun 2016 hingga sekarang dengan jumlah anggota seramai 26 orang iaitu 19 Pegawai Kerja Sosial Perubatan dan 3 Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat serta 4 staf sokongan.
Skop perkhidmatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan adalah untuk memberikan bantuan psikososial kepada pesakit dan/atau waris. Bantuan psikososial ini melibatkan penilaian biopsikososial yang perlu dijalankan ke atas pesakit dan/atau waris oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan sebelum intervensi terapi sokongan dan bantuan praktik diberikan. Selain peranan hakiki, Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL juga bertanggungjawab sebagai Penyelaras Perkhidmatan Sukarelawan HKL, menguruskan Rumah Perantaraan HKL dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia cawangan HKL di bawah Persatuan Pegawai Pembangunan Masyarakat (Perubatan) Malaysia.
Visi
Memastikan keperluan psikososial pesakit, keluarga dan komuniti dipenuhi bagi mencapai kesihatan yang lebih baik.
Misi
Memberi khidmat psikososial yang cemerlang melalui bantuan praktik dan terapi sokongan.
Objektif
- Memberi perkhidmatan psikososial kepada pesakit semasa proses pencegahan, rawatan dan pemulihan.
- Membantu memulihkan kefungsian sosial agar pesakit menjadi produktif, berdikari dan dapat kembali kepada komuniti selaras dengan batas keupayaan mereka.
- Meningkatkan keyakinan diri ke arah memperkasakan pesakit melalui khidmat terapi sokongan.
Carta Organisasi
Perkhidmatan
Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan disediakan untuk pesakit dalam dan pesakit luar yang menerima rawatan di hospital. Perkhidmatan ini merangkumi :
a. Pengurusan Bantuan Praktik
i. Penempatan Institusi
ii. Bantuan Kewangan (peralatan/ ubatan/ rawatan/ am)
iii. Mengesan Waris
b. Pengurusan Bantuan Terapi Sokongan
i. Khidmat Perundingan
ii. Sokongan Emosi
iii. Intervensi Krisis
Bantuan praktik dan terapi sokongan diberikan kepada kes-kes berikut, antaranya:
i. Penderaan dan Pengabaian Kanak-kanak
ii. Ibu Tanpa Nikah
iii. Keganasan Rumahtangga
iv. Jenayah Seksual
v. Pesakit Akut dan Kronik
vi. Orang Kurang Upaya (OKU)
vii. HIV Positif/ AIDS
viii. Ketagihan Dadah/ Alkohol
Piagam Pelanggan
- Setiap pelanggan akan mendapat perkhidmatan tanpa mengira kaum, agama, umur, jantina dan taraf sosioekonomi.
- Segala maklumat pelanggan yang diperolehi akan dirahsiakan dan hanya boleh diberitahu kepada pihak tertentu mengikut keperluan.
- Segala pengurusan permohonan bantuan praktik dan terapi sokongan adalah tertakluk kepada syarat dan peraturan agensi yang berkaitan, sumber sedia ada dan kelayakan pemohon.
Informasi Berkaitan
Waktu Operasi Unit Kerja Sosial Perubatan, SCACC HKL
HARI | PAGI | PETANG |
Isnin - Khamis | 8.00 pagi – 12.30 petang | 2.00 petang – 4.30 petang |
Jumaat | 8.00 pagi – 11.45 pagi | 2.45 petang – 4.30 petang |
Sabtu, Ahad dan Hari Kelepasan Am | Tutup | Tutup |